Tuesday, October 5, 2010

Keadilan Yang Diharapkan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Sistem keadilan dan saksama dari pelbagai pihak sepatutnya menjadi satu amalan dan perlu dimainkan dalam setiap organisasi yang dipertanggungjawabkan termasuk pihak Kerajaan sendiri. Tidak kiralah sama ada dalam aspek Kepimpinan Mahasiswa, Kepimpinan Syarikat mahu pun Kepimpinan Kerajaan.

Kita sering dilaungkan dengan pelbagai slogan yang digempar-gempurkan untuk menyahut seruan iaitu keadilan dan sebuah negara yang demokrasi dan perlu diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia dan pekerja yang bertanggungjawab. Tidak kira sama ada sebuah badan Kerajaan atau pun sebuah badan NGO.

Dari hari ke hari, saya perhatikan istilah “Keadilan” dan “Negara Berdemokrasi” hanya sekadar benteng daripada kita mendengar apa yang diutarakan oleh pihak Mahasiswa, pihak Pembangkang mahu pun pihak Kerajaan sendiri daripada terus kita mengetahui apa sebenarnya sebagai seorang rakyat sebuah negara yang Merdeka. Tidak dinafikan ada hikmah di sebaliknya perkara seperti itu dilakukan tetapi di pihak saya sendiri sebagai wakil Mahasiswa, ianya dianggap sebagai satu persoalan yang masih belum terungkai.

Kita sering membaca di dada-dada akhbar berkenaan apa yang dibuat oleh pihak Kerajaan selaku wakil Rakyat tapi media massa yang sepatutnya menjadi sebuah badan bebas perlu melaksanakan amanah mereka dari terus dibelenggu oleh sebuah pihak semata-mata. Di manakah kebebasan oleh seorang pemimpin Wakil Rakyat bagi pihak Pembangkang menunjukkan apa yang mereka telah lakukan?

Saya bukannya menyokong pihak pembangkang atau pun pihak kerajaan, tetapi selaku pemimpin Mahasiswa saya perlu bertegas agar perkara seperti ini tidak terjadi dalam sebuah masyarakat Kampus yang masih hijau dalam penglibatan bidang politik ini terutamanya berkenaan dengan Pilihanraya Kampus (PRK) iaitu proses Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM).

Saya beranggapan bahawa situasi seperti ini ibarat satu kebebasan yang tidak Merdeka dari segi keadilan dari semua pihak termasuk di pihak mahasiswa sendiri. Mahasiswa juga perlu melihat situasi ini sebagai satu yang perlu dipupukkan dalam diri masing-masing dengan menegakkan keadilan. Contohnya, di Pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM UTM IC) sendiri, kita menjadikan aspek KEADILAN dan DEMOKRASI ini sebagai landasan kepada mahasiswa untuk bersama-sama dengan MPM UTM IC dalam memperjuangkan HAK-HAK ISTIMEWA MAHASISWA.

Di zaman Rasulullah SAW sendiri telah menjadikan aspek KEADILAN sebagai satu keutamaan terutamanya kepada mereka yang bergelar seorang pemimpin. Dan dalam realiti sekarang di kampus sendiri, Pihak MPM UTM IC dan Persatuan Mahasiswa UTM IC perlu menegaskan bahawa KEADILAN adalah menjadi keutamaan, kerana di akhirat nanti, satu persatu akan dipersoalkan oleh Allah Taala. Renung-renungkan…

Akhir kata, saya menegaskan di sini sekali lagi, segala aspek berkaitan dengan apa-apa yang melibatkan rakyat, mahasiswa dan sesiapa sahaja, seseorang itu perlulah bersikap ADIL dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Ingatlah, Allah Taala bersama dengan hamba-Nya yang teraniaya dan dizalimi.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: