Thursday, October 7, 2010

Perpaduan Mahasiswa Peneraju Perubahan Akan Datang...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Ungkapan “Perpaduan” seringkali dilaung-laungkan oleh pelbagai pihak dalam membentuk sebuah tamadun yang berasaskan perpaduan antara kaum menjadi aspek utama dalam pembentukkan sesebuah negara. Malaysia sendiri merupakan sebuah negara yang menjadi aspek Perpaduan dan Integrasi sebagai asas dalam memelihara hubungan antara kaum.

Toleh kiri dan kanan anda, adakah elemen perpaduan ini masih kukuh di sanubari setiap rakyat Malaysia atau sekadar buih-buih yang hampir lupus di awangan? Satu persoalan yang mesti anda semua fikirkan terutamanya anda yang bergelar seorang Mahasiswa atau bakal-bakal pelapis Pimpinan Negara akan datang.

Kita tinggalkan mengenai isu tersebut kerana ianya sudah ke peringkat masyarakat Malaysia yang luas, tetapi saya ingin membawa anda semua ke satu peringkat yang tidak kurang hebatnya iaitu peringkat Masyarakat Kampus. Elemen perpaduan adalah amat diperlukan bagi membentuk generasi yang bersatu padu terutamanya apabila semakin hampir ke proses Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa atau Pilihanraya Kampus (PRK).

Sebagai contoh di Universiti Teknologi Malaysia International Campus (UTM IC), apa yang saya perhatikan sendiri elemen perpaduan di kalangan mahasiswa UTM IC tidak kuat sama sekali. Sering berlaku pertelingkahan dan ketidakpuasan hati antara berlainan tahun (batch) atau berlainan kursus/jurusan dan lebih memilukan di kalangan ahli persatuan sendiri.

Kenapa saya membangkitkan perkara ini pada pagi yang mulia ini? Kerana saya sendiri perlu menasihati pada diri saya sendiri dan seluruh Mahasiswa UTM IC sebelum kita terlambat dalam menempuh masa akan datang. Kita semua perlu sedar bahawa kita semua adalah se”title” iaitu Mahasiswa. Kenapa perlu kita bergaduh, bertelingkah atau berpecah antara satu mahasiswa dengan mahasiswa yang lain? Sedangkan kita semua adalah sama dan masing-masing memerlukan antara satu sama lain.

Maksud lain yang boleh saya katakan di sini adalah elemen perpaduan itu sendiri sangat perlu diterapkan oleh kita semua dalam membentuk sebuah hubungan atau ikatan silaturrahim yang utuh dan kuat sesama kita. Pelbagai langkah usaha yang dilakukan oleh pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC (MPM UTM IC) dalam mempertahankan atau memperkukuhkan elemen ini sebagai dasar perjuangan kita semua.

Program University Social Responsibility di Bukit Katil, Program University Social Responsibility di Sarawak, Program Kembara Anak Merdeka, Program Culture & Sport Competition dan sebagainya lagi anjuran MPM UTM IC mengangkat tema perpaduan sebagai bentuk memperkukuhkan antara mahasiswa sendiri di UTM IC.

Kita semua perlu sedar bahawa kita semua akan berhadapan dengan masyarakat yang lebih luas di masa akan datang. Adakah kita mahu melihat saudara-saudara kita berperang antara satu sama lain? Memang benar sangat susah untuk kita semua menjauhkan sifat hasad dengki dalam diri kita tetapi kita semua perlulah kuat dan hindari sifat seperti itu.

Akhir kata, saya amatlah berharap agar seluruh Mahasiswa UTM IC bersatu dan bersama-sama berganding bahu dalam memperkukuhkan tali persaudaraan dan persahabatan antara satu sama lain agar ianya terus berkekalan ke akhirnya dan dalam masa yang sama berganding bersama-sama dengan MPM UTM IC dalam memperjuangkan hak mahasiswa. Insyaallah…


Sekian, Wallahua’lam….

“Perpaduan Mahasiswa Peneraju Perubahan Akan Datang”

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: