Sunday, March 13, 2011

Festival Filem Akira Kurosawa...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…



“Festival Filem Akira Kurosawa” anjuran Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Japan Foundation yang diadakan bermula 10 hingga 20 Mac bersempena dengan Ulang Tahun kelahiran ke-100 Pengarah berkaliber filem-filem Jepun iaitu Akira Kurosawa. Saya bersama dengan 9 orang lagi mahasiswa telah mewakili UTM IC untuk ke acara berkenaan pada 12 Mac 2011.

Festival ini pernah diadakan di Korea, India, Indonesia, Thailand dan sekarang pihak penganjur memilih Malaysia sebagai destinasi untuk melihat hasil kerja Kurosawa ini. Filem-filem arahan Kurosawa adalah antaranya, Sanshiro Sugata (1943), The Most Beautiful (1944), Scandal (1950), Seven Samurai (1954), Sanjuro (1962), High and Low (1963), Madadayo (1993) dan sebagainya lagi.

Kami tiba di ASWARA tepat jam 4.30petang walaupun sesat ketika menuju ke sana. Majlis dimulakan dengan Special Talk dari Adman Md Salleh, Dekan Fakulti Filem dan Video ASWARA dan Pengarah Filem PALOH. Dengan tajuk, “Moving Forward with Tradition - Kurosawa and his story telling, as a person and his work.”

Perbincangan ini cukup memberi gambaran betapa hebatnya dan seninya hasil kerja Kurosawa ini. Sepanjang hayatnya, hampir 27 filem pernah beliau hasilkan dalam membawa perfileman Jepun ke mata antarabangsa. Setiap perbincangan itu diselitkan dengan beberapa babak filem arahan Kurosawa.



Seterusnya kami dipertontonkan dengan Filem “Rashomon-1950” lakonan Mifune Tashiro, Mori Masayuki dan Kyo Machiko. Filem ini boleh dikatakan sebagai filem yang banyak membuatkan penonton berfikir. Kerana setiap watak menceritakan peristiwa yang sama tetapi berlainan dari segi jalan ceritanya. Setiap watak masing-masing mengatakan bahawa cerita mereka itu adalah benar. File mini pernah meraih, Golden Lion Award & Italian Film Critics Award @ Venice Film Festival.

Walaupun penceritaannya cukup perlahan tetapi saya menganggap ianya adalah sebagai satu bentuk pemikiran jepun ketika zaman 50-an. Pemikiran seperti itu membuatkan empunya nama, Kurosawa cukup disegani oleh penggiat filem antarabangsa. Tak hairanlah watak-watak filem Star Wars antaranya hasil daripada imaginasi dari filem-filem arahan Kurosawa ini.

Saya dikesempatan ini ingin mengucapkan “Terima Kasih” kepada pihak pengajur kerana menjemput kami dari UTM IC untuk sama-sama berpeluang mengetahui dunia perfileman arahan Kurosawa ini. Saya juga dikesempatan ini ingin mengusulkan atau mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya diadakan pula Festival Filem P.Ramlee atau Festival Filem Yasmin Ahmad kepada kedua-dua insan ini boleh dianggap cukup hebat dalam dunia perfileman Malaysia.

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: