Monday, March 28, 2011

Rugi Mahasiswa Apabila Bijak Pandainya Asyik 'Syok Sendiri'...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Rugi Mahasiswa Apabila Bijak Pandainya Asyik Syok Sendiri” itulah tajuk penulisan yang seterusnya ini. Sekali dengar, bagai halilintar memecahkan bumi tetapi itulah hakikat sebenar yang berlaku di sekeliling universiti kita tanpa kita sedari. Tepuk dada, Tanya selera anda!

Ada yang bersuara seperti guruh memecahkan hening, ada juga yang berdiam terpaku membisu, ada juga yang ‘hero’ hanya di belakang, ada juga yang bergegar semata-mata meraih sokongan, ada juga ‘plastik’ sebagai perhiasan kampus dan pelbagai lagi ragam mahasiswa di sekitar kampus kita.



Berbalik kepada penulisan yang seterusnya ini, melihat kelibat mahasiswa di khalayak masyarakat dahulu kala, masyarakat memandang mahasiswa seperti pemimpin muda berwawasan tinggi yang bakal merubah negara pada suatu hari nanti. Tetapi hari ini? Kes maksiat pula didominasikan oleh mahasiswa. Tetapi benarkah?

Kita biarkan persoalan itu terungkai dengan sendirinya. Memang rugi sekiranya apa yang dilakukan oleh kita itu hanya sekadar imbuhan ‘Syok Sendiri’kerana tiada istilah itu sekiranya kita bijak dalam mengawal tindak-tanduk yang kita lakukan.

Benar! Perkara itu saya sendiri pernah alami. Tetapi atas diri kita untuk melakukan perubahan tersebut agar ianya tidak dipandang serong oleh orang sekeliling. Hari demi hari saya perhatikan, perkara itu seperti berulang kembali dalam kelompok mahasiswa hari ini.

Di manakah silapnya? Kesilapan ini mungkin berlaku disebabkan tahap pemikiran kita masih dibelenggu kesempitan dan kurang menerima pendapat sekeliling seperti berangan ingin menjadi hero di medan pemikir. Tapi sayangnya, hanya tin kosong yang berdentum-dentum.

‘Syok Sendiri’ tidak akan terbit sekiranya kita mengamalkan pendekatan musyawarah dan berkongsi ilmiah dan pengalaman sebagai pembentukkan wawasan baru bagi merealisasikan perubahan yang dicanang-canangkan.

Pemerhatian yang dilakukan sejak akhir-akhir ini, ibarat perumpaan ini sememangnya wujud jika kita terlambat, perasaan ‘Menyampah’ pula akan menyusul dan seterusnya akan berlakulah pergolakan dan krisis dalaman. Percayalah, sebagai seorang pemimpin mahasiswa, jika kita tidak ‘alert’ dengan perkara sedemikian, saya nasihatkan berundurlah! Dan bermuhasabahlah sebelum terlambat.

Kesediaan dalam menerima pendapat orang lain sentiasa ada baik dan buruknya, tetapi jika dikaji secara mendalam kedua-duanya itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan dalam perubahan yang ingin dikecapi. Tetapi disebabkan keegoan yang tinggi berkemungkinan ianya hanya sekadar lakonan lucu yang sedang ditonton oleh masyarakat sekeliling.

Percayalah, mahasiswa sekarang memang bijak, mahasiswa sekarang memang mahir tetapi disebabkan ‘Syok Sendiri’, perkara itulah yang menenggelamkan proses perubahan yang ingin dikecapi. Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang? Oleh itu, berfikirlah kembali.

Sedih melihat apabila perkara ini turut sama diperkatakan oleh beberapa orang sahabat di berlainan universiti tetapi itulah hakikat atau virus yang sedang melanda masyarakat kampus hari ini. Toleh kanan dan kiri, perhatikanlah…

Akhir kata, saya mengingatkan kembali diri saya dan sahabat-sahabat sekeliling supaya berfikirlah dan kajilah perkara ini supaya ianya tidak memakan diri kita sendiri. Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan ianya adalah hakikat sebenar dan ianya pernah ditempuhi oleh saya sendiri.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

3 comments:

nogori mari. said...

rjin ko mnulis eh..=)

WMHMY said...

Ahmat : sekadar berkongsi... hehehe =)

-peace- said...

salam

tulisan yang menarik bro wan hazem...teruskan usaha anda....