Saturday, May 14, 2011

Salam Perpisahan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Ketika tiba saat perpisahan janganlah kalian berduka, sebab apa yang kalian kasihi darinya mungkin akan nampak lebih nyata dari kejauhan – seperti gunung yang nampak lebih agung terlihat dari padang dan dataran

Perpisahan merupakan satu detik yang amat tidak menyenangkan dan memberi kesan yang begitu mendalam bagi setiap ikatan persahabatan yang terjalin. Perpisahan cukup memilukan hati kerana begitu banyak pengalaman dan kenangan yang terlukis pada sebuah gambar kehidupan kita.

Perkara itu turut berlaku kepada diri saya untuk merasai detik-detik perpisahan bersama-sama rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada diri saya untuk terus ke depan. Walaupun terpaksa berdepan dengan situasi ini, tetapi di benak hati ini masih ada kesedihan untuk melalui detik-detik perpisahan bersama dengan sahabat sekeliling.

Selama hampir 3 tahun saya menuntut ilmu di Universiti Teknologi Malaysia International Campus yang penuh 1001 kenangan, ada yang manis dan ada juga yang pahit. Pelbagai gelagat dan ragam sahabat-sahabat yang kadang-kala cukup mencuit hati saya. Tapi apakan daya, semua itu hanya menjadi sebuah kenangan terunggul untuk sebuah ikatan persahabatan yang sementara ini di sini.

Kepada Kelas DDF (Batch 2008 - 2011)

Saya seronok berkawan dengan korang. Banyak perkara yang kadang-kala membuatkan saya tertekan tetapi saya masih boleh menerimanya dengan keadaan yang terbuka. Dan saya cukup gembira berkawan dengan anda semua kerana setiap daripada anda cukup ‘Best’ dan ‘Terbaik’. Dan yang paling best apabila korang semua sentiasa menyokong dan mempercayai diri saya untuk terus ke depan.

Pengalaman yang paling saya tak boleh lupakan apabila berada dalam kelas Encik Harith ketikamana semua ‘assignment’ kita kena ‘baling’ dan tak diterima. Habis diam kita semua. Hahahaha… Mungkin itulah pengajaran untuk kita semua bagi terus mencapai cita-cita. Insyaallah… Saya doakan agar persahabatan kita semua terus berkekalan dan saya di sini ingin mohon maaf sekiranya sepanjang hampir 3 tahun kita semua bersama, saya ada melakukan salah silap kepada korang semua sama ada secara lisan, perlakuan dan sebagainya. Insyaallah, jika umur panjang, kita semua dapat berkumpul kembali. =)

Kepada Rakan Sebaya (Batch 2008 - 2011)

Alhamdulillah, saya diterima menjadi kawan, sahabat dan rakan anda semua, walaupun kita semua berlainan kursus dan sebagainya. Saat pertemuan antara kita sama ada, dalam aktiviti persatuan, majlis-majlis, di kampus, di kolej dan sebagainya lagi cukup membuatkan diri saya ini gembira. Banyak pengalaman dapat dikongsikan daripada bermulanya program PERSADA sehinggalah sekarang, cukup memberi kesan pada persahabatan kita semua.

Dari saya seorang diri di UTM IC sehinggalah saya mempunyai begitu ramai kawan di sini, korang semua memang terbaik. Di sini saya ingin memohon maaf kepada korang, sekiranya ada salah silap sepanjang perkenalan kita semua bermula diri saya sebagai JKM-KSJ sehinggalah MPM UTM IC selama hampir setahun lebih, ada perkara-perkara yang membuatkan korang terasa dengan saya. Saya mohon maaf dan saya harap kita dapat bertemu kembali pada suatu hari nanti. Insyaallah… =)

Kepada Junior (Batch 2009 – 2012 & 2010 - 2013)

Adik-adikku sekalian, terima kasih kepada korang semua kerana menerima diri saya ini seadanya. Terima kasih sekali lagi kerana sudi berkawan dengan saya. Terima kasih juga kerana sudi menyertai aktiviti-aktiviti yang saya jalankan sepanjang korang semua berada di UTM IC. Insyaallah, saya harap korang pula dapat teruskan aktiviti-aktiviti sedemikian kepada generasi mahasiswa yang seterusnya.

Di sini juga, saya ingin mohon maaf sekiranya sepanjang saya berkhidmat sebagai perwakilan korang, masih ada perkara-perkara yang tidak memuaskan diri anda semua. Tapi apakan daya, saya sudah buat yang terbaik. Dan saya juga amat berharap agar korang semua terus doakan kejayaan kepada saya. Insyaallah.


Akhir kata sebelum saya berundur diri, ingin saya ungkapkan beberapa rangkap pantun kepada anda semua, terimalah,

Berhempus bayu angin mengilir,
Sejuknya sampai kehujung pohon,
Sambutlah salam pesan terakhir,
Kusampaikan lewat untaian pantun.

Hendak menebang nibung berduri,
Dibuat pagar tepi perigi,
Pantun dikarang melepas diri,
Entahkan bila berjumpa lagi.

Bunga kemboja putih berseri,
Putihnya melur dihujung dahan,
Atas kerjasama dan bantuan yang diberi
Puji, syukur dan terima kasih saya ucapkan.

Kalau menjemur papan panjang,
Baik disusun tegak berdiri,
Kalau lah ada umur panjang,
Insyaallah kita akan berjumpa lagi…


Salam ikhlas dari saya,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: