Thursday, June 23, 2011

Permasalahan Umum...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Berakhirnya babak tragis yang cuba memecahbelahkan antara saya dan sahabat baik saya, muncul pula babak seterusnya yang juga ke arah memecahbelahkan antara satu sama lain. Mungkin kejadian sebegini perlu ditonjolkan dalam sebuah drama bagi memaparkan kehidupan yang penuh liku-liku dalam meneruskan perjuangannya.

Babak kali ini yang melibatkan antara saya dan adik-beradik angkat saya ini dirasakan tidak wajar untuk saya kongsikan di sini disebabkan melibatkan beberapa individu yang tidak sepatutnya dimaklumkan di sini. Mungkin biarlah saya pendamkan keseorangan agar ianya tidak terus menjejaskan hubungan kami di individu tersebut.

Perkongsian kali ini ingin saya fokuskan berkenaan dengan permasalahan yang sedang dilalui oleh kita sebagai insan yang masih mencari sinar harapan untuk terus melangkah ke hadapan. Buka saja akhbar, terbentang dengan pelbagai coretan berita yang memaparkan permasalahan yang sedang melanda di Malaysia. Terutamanya berkenaan dengan Isu ‘Demontrasi Jalanan BERSIH’.



Saya tak nak ulaskan lebih lanjut berkenaan dengan isu ini kerana dirasakan belum cukup ilmu untuk diulaskan. Dan saya hanya mampu untuk mengetahui berkenaan dengan isu ini melalui akhbar yang dirasakan saya cukup ‘Berat Sebelah’ dan blog-blog beberapa ahli Parlimen.

Saya merasakan lebih wajar jika sekiranya pihak Kerajaan Malaysia (Barisan Nasional) serta pihak Pembangkang (Pakatan Rakyat) untuk membuat satu sesi dialog antara pemimpin-pemimpin terkemuka kedua-dua belah pihak, secara terbuka melibatkan isu-isu nasional seperti ‘Demontrasi Jalanan BERSIH’ ini yang dipancarkan terus melalui siaran televisyen supaya tiada sebarang putar-belit dapat dilakukan oleh segelintir pihak media.

Dan ini lebih mencerminkan ‘Demokrasi’ yang dicanang dan menjadi perjuangan hakiki oleh kedua-dua belah pihak dapat direalisasikan. Percaya atau tidak, isu seperti ini wajar untuk difikirkan oleh Belia Remaja seperti saya kerana ianya melibatkan masa depan kita dalam berdepan dengan kepimpinan negara akan datang. Betul atau tidak, tepuk dada tanyalah iman anda! Noktah !

Itulah yang dikatakan bahawa setiap manusia pasti akan melalui pelbagai jenis permasalahan yang diluar jangkaan kita tetapi atas diri kita sama ada mencuba untuk memendamkannya atau mencari jalan penyelesaiannya. Memang benar, kadang kala dengan permasalahan ini menyebabkan kita berada di alam kita sendiri tanpa memikirkan persekitaran yang berlaku.

Permasalahan yang berlaku wajar dan mesti diselesaikannya secara berfikiran waras dengan mengambil kira dari pelbagai jenis sudut supaya keputusan yang dibuat itu tidak sia-sia atau memakan diri kita kembali. Teringat pula, tadi saya sempat menasihati adik-beradik angkat saya, Nurhanudin agar sebelum membuat sesuatu keputusan, wajar untuk kita berfikir dahulu kerana bak kata pepatah melayu, “Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya” dan “Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana Mulut Badan Binasa”.

Akhir kata, saya memesan pada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat diluar sana agar sentiasalah memuhasabahkan diri agar kita tidak terus leka dibuai mimpi atau keasyikan yang terlampau dengan hiburan. Kerana di akhir zamanlah, manusia mudah lupa diri dan cuba menjatuhkan dan memecahbelahkan sesama sendiri.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: