Saturday, March 10, 2012

Mahasiswi IPTA Dicabul Doktor Pelatih...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Alhamdulillah, baru sahaja selesai latihan untuk sukan Tenis Kolej Tun Dr Ismail bagi merancakkan lagi persiapan menjelang tarikh keramat utk sukan Tenis UTM GAMES 2012 yang akan berlangsung pada 17 & 18 Mac 2012 bertempat di Gelanggang Tenis Kolej Tuanku Canselor (KTC).

Membuka saja laptop saya, terbaca di Sinar Harian Online mengenai seorang mahasiswi IPTA yang dicabul oleh seorang doctor pelatih di sebuah hospital. Saya selaku sebagai seorang mahasiswa IPT terpanggil untuk kongsikan berita ini kepada seluruh pembaca blog saya untuk berwaspada dengan setiap orang di sekeliling kita terutamanya mereka yang bernama wanita.

Bagi saya, dengan kes seperti ini akan membuatkan lebih ramai lagi wanita takut untuk berdepan dengan doctor lelaki. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bagaimanapun, saya berharap agar kes seperti ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin oleh pihak berkuasa.

Dan saya mengharapkan juga mendapat respon dari pelbagai pihak terutamanya mereka-mereka yang bergelar ‘Pejuang Mahasiswa’, Pihak Hospital Berkenaan, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Kesihatan. Bukannya apa, masalah ini sepatutnya lebih dipandang dalam memberi keadilan yang sebaiknya kepada mahasiswi (mangsa) tersebut. Jom ikuti beritanya bersama…

KOTA BHARU - Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendakwa dicabul seorang doktor pelatih di sebuah hospital di sini pada 4 Mac lalu.

Pelajar terbabit dikatakan dicabul ketika berada di unit kecemasan hospital terbabit kira-kira jam 10.20 pagi ketika mendapatkan rawatan.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya dirawat seorang doktor perempuan, namun terpaksa meninggalkan mangsa kerana perlu merawat kes kecemasan.

“Seorang doktor lelaki masuk ke bilik rawatan dan tanpa sebarang soalan, doktor tersebut meraba buah dada mangsa.

“Selepas meraba mangsa, doktor tersebut juga meminta seorang jururawat untuk memeriksa pelajar itu dan kemudian meraba alat sulit mangsa,” katanya.

Pelajar itu juga diarahkan doktor tersebut untuk melakukan senaman secara berhadapan dan dia memegang pinggang mangsa serta diarah melentikkan diri menyebabkan mangsa dicabul sekali lagi.

Apabila mangsa menyedari dirinya dicabul, dan tindakan tersebut bukannya rawatan, mangsa kemudiannya melarikan diri dari bilik itu serta membuat aduan kepada doktor wanita yang mula-mula merawatnya.

“Bagaimanapun, surat yang ditulis oleh mangsa kepada hospital tersebut tidak dilayan sehingga kini. Mangsa dikatakan lambat membuat laporan kerana terpaksa menduduki ujian peperiksaan,”katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Azham berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Link
“Usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

*Berhati-hatilah di mana saja anda berada terutamanya kepada kaum hawa. Semoga Allah terus melindungi kaum hawa dari perilaku sedemikian. Insyaallah… =)

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: