Sunday, March 11, 2012

Rakyat Malaysia Prihatin : Tabung Adik Nur Suhaila Tukijan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Terpanggil untuk saya sebagai seorang mahasiswa mewar-warkan dan bersama-sama berkongsikan makluman mengenai Adik Nur Suhaila Tukijan yang menghidap ‘Congenital Disorder’ dan perlu menjalani pembedahan rahim yang memerlukan kos sekitar RM 60,000. Jom baca kisah yang selanjutnya…

SHAH ALAM - Nur Suhaila Tukijan, 15, yang memerlukan RM60,000 untuk pembedahan rahim, menerima sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Melaka.

Ibu Nur Suhaila, Hanita Mohd Tahir bersyukur menerima sumbangan dari Kerajaan Negeri, melalui Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

“Saya berkesempatan menemui beliau dan menunjukkan keratan akhbar mengenai anak saya.

“Terima kasih semua rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan untuk pembedahan ini,” katanya, semalam.

Setakat ini, RM28,778 sudah dikumpulkan untuk pembedahan yang perlu dilakukan di Hospital Universiti Sharjah, Dubai. Lebih RM30,000 lagi diperlukan untuk menampung kos pembedahan itu. Hanita dan Suhaila dijadual berangkat ke Dubai, 19 Mac ini.

Sumber : Sinar Harian (11 Mac 2012)

SHAH ALAM - Sejak kisah adik Nur Suhaila Tukijan, 15, yang menghidap ‘Congenital Disorder’ dipaparkan dalam Sinar Harian 22 Februari lalu, sumbangan orang ramai meningkat kepada RM13,000 hingga petang semalam.

Keprihatinan orang ramai yang menghulurkan sumbangan bagi membiayai kos perubatan Nur Suhaila menyentuh perasaan ibunya, Hanita Mohd Tahir.

Ternyata ucapan terima kasih yang tidak terhingga tidak cukup baginya bagi menghargai sumbangan orang ramai demi menyelamatkan nyawa anaknya.

Hanita berkata, orang ramai terus menyumbang selepas kisahnya dipaparkan iaitu memerlukan RM60,000 untuk menampung kos rawatan keseluruhan.

“Saya amat terharu atas keprihatinan orang ramai yang simpati dengan nasib anak saya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang membantu. Semoga mereka sentiasa dimurahkan rezeki.

“Hasil sumbangan orang ramai juga, saya telah mendapatkan tiket kapal terbang, penerbangan pada 19 Mac ini, bagi membolehkan Suhaila menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah, Dubai,” katanya.

Pembedahan dijadual pada 22 Mac ini.

Hanita berharap ada cahaya bagi anaknya meneruskan kehidupan seperti anak-anak lain.

Sinar Harian difahamkan, Lembaga Zakat Selangor juga dalam proses mempertimbangkan dana RM35,000 bagi menampung kos rawatan Nur Suhaila.

Nur Suhaila, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam menghidap ‘Congenital Disorder’.

Nur Suhaila mempunyai dua rahim, dengan salah satunya tidak berfungsi dan satu buah pinggang sahaja.

Pembedahan di Dubai akan membuang rahimnya yang gagal berfungsi tetapi terus membengkak.
Bagi yang ingin terus memberi sumbangan, boleh berbuat demikian menggunakan akaun Maybank milik Hanita: 112101581281.



Sumber : Sinar Harian (6 Mac 2012)

*Saya doakan agar Allah Taala terus melindungi Adik Nur Suhaila Tukijan dan saya mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia prihatin dengan masalah yang menimpa Adik Nur Suhaila ini. Insyaallah…Dan membantu meringankan beban yang dialaminya sekarang ini... Insyaallah... =)

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

1 comments:

Miss Lady Iena Nazir said...

Jika tidak mampu memberikan harta mahupun wang ringgit, memadailah dengan mendoakan buatnya.

Semoga cepat sembuh. Aminn..