Monday, October 24, 2016

Adibah Noor : Into The 3rd Decade, A Mini Concert...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam 1 Malaysia...

Alhamdulillah bertemu kita sekali lagi untuk entry terbaru aku. Walaupun sedikit sibuk dengan pelbagai aktiviti dan tugasan termasuklah di dalam pejabat mahupun di luar pejabat. Dan terbaru aku dilantik menjadi Pengacara Majlis untuk satu Majlis Konvensyen Inovasi dan Kualiti peringkat kebangsaan. Satu amanah dan kepercayaan yang sangat besar diberikan kepada aku. Insyaallah, aku akan cuba yang terbaek.

Ini merupakan kali kedua aku diberikan kepercayaan dan ditugaskan untuk mengemudi majlis rasmi dan seingat aku, kali terakhir aku menjadi 'Master of Ceremonies a.k.a MC' ini adalah ketikamana diadakan majlis rasmi bagi meraikan bakal-bakal jemaah haji. Walaupun aku sebenarnya agak gemuruh untuk mengemudi majlis, tapi aku terima saja seadanya kepercayaan dan amanah yang diberikan ini. Ianya satu penghargaan buat diri aku.

Adibah Noor : Into The 3rd Decade, A Mini Concert...


Penghargaan yang dibuat untuk diri sendiri merupakan satu yang perlu bagi memberikan satu kepuasan sepertimana yang dibuat oleh Adibah Noor bagi meraikan penglibatan beliau di dalam dunia seni hiburan tanah air. Adibah Noor merupakan antara artis contoh yang boleh kita jadikan sebagai sumber rujukan terbaek kerana beliaulah antara artis tanah air yang mempunyai kelebihan tersendiri dari segi bakat dan jatuh bangun beliau di dalam industri tanah air ini.

Yeahhh...aku berkesempatan mengikuti persembahan Adibah Noor dalam 'Adibah Noor : Into The 3rd Decade, A Mini Concert' baru-baru ini yang dibuat dalam suasana yang cukup elegan dan santai di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) bersama dengan kawan aku, Zubir yang merupakan seorang perancang bandar yang cukup kreatif dalam bidang seni lukis.

Mini konsert ini boleh dikatakan antara konsert yang cukup santai, best, menghiburkan, boleh layan dan semestinya diserikan dengan celoteh jenaka spontan dari Adibah Noor. Beliau merupakan seorang entertainer / penghibur yang cukup bijak memberikan persembahan terbaek. Menerusi konsert ini, beliau turut berkongsi perjalanan hidup beliau dengan titik permulaan sebagai seorang guru bahasa Inggeris sehinggalah beliau sekarang bergelar sebagai seorang penghibur tanah air yang serba boleh.

Sepintas lalu mengenai Kak Adibah Noor yang pernah aku kenali ini ialah beliau seorang yang sangat happening, selalu balas tweet aku, pernah berkongsi kepada aku cara menguasai Bahasa Inggeris menerusi sms antara aku dengan kak Adibah Noor (sebelum beliau popular dengan lagu Terlalu Istimewa). Beliau juga seorang penghibur yang serba boleh samada pengacara, pelawak, penulis lirij, penyanyi, pelakon dan sebagainya lagi. Beliau juga pernah memenangi Anugerah Juara Lagu dan menjadi finalis Pelakon Pembantu Wanita Terbaek di Festival Filem Malaysia.

Berbalik kepada konsert beliau itu, persembahan pada malam itu menampilkan beberapa lagu yang beliau pernah nyanyikan semasa menyertai pertandingan nyanyian seperti 'Flashdance...What A Feeling' dan beberapa lagi lagu semasa menjuarai Suara 90-an Nescafe menerusi lagu Anggapanmu dan I Will Always Love You.

Antara lagu yang beliau bawakan adalah Love Never Felt So Good, Not The Only One, Ikan Di Laut, Siapa Dia, Bulan dan Mentariku serta Hujan. Beliau turut menyampaikan beberapa lagu dari album ketiga yang akan dilancarkan tahun ini iaitu menampilkan lagu-lagu duet beliau seperti Jiwa Sentuh Jiwa (ft. Misha Omar), Bahasa Rindu (ft. Nizam), Sebutlah Namaku (ft. Amir Jahari), Sandaranku (ft. Atilia), Ke Sana Denganmu (ft. Sam Innuendo), Malaysiaku Cinta (ft. Dina Nadzir) dan Andai Ada Ruang (ft. Anuar Zain).








Setiap persembahan yang dibawakan secara duet, aku amat-amatlah tertarik dengan gabungan suara antara Kak Adibah Noor dengan Misha Omar dan Amir Jahari kerana kedua-dua lagu tersebut mempunyai daya tarikan yang tersendiri terutamanya lagu nyanyian bersama Amir Jahari yang cukup best. Selain itu, lagu wajib yang turut dipersembahkan oleh Kak Adibah Noor adalah lagu Terlalu Istimewa dan mengakhiri konsertnya dengan lagu Joget Hati Senang.

Secara keseluruhan, aku amat berpuas hati dengan persembahan oleh Adibah Noor dari awal permulaan sehinggalah di pengakhirannya, penuh dengan maksud perjalanan kehidupan seorang insan bernama Adibah Noor dan yang paling penting adalah diselitkan dengan jenaka spontan Adibah Noor yang semestinya mengundang gelak tawa penonton. Apa-apa pun, terbaek Kak !




Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: